Mus'ab bin Umair: Pemuda Yang Menukar Sutera Dunia Dengan Rumput Syurga

Mus'ab bin Umair Pemuda Yang Menukar Sutera Dunia Dengan Rumput Syurga

Dalam sejarah Makkah, tidak ada pemuda yang lebih dimanjakan melebihi Mus'ab bin Umair.

Beliau adalah simbol kemewahan. Ibunya, Khunas binti Malik, seorang bangsawan yang sangat kaya, memakaikan anaknya dengan pakaian yang paling halus dan mahal. Kasutnya ditempah khas dari Hadramaut (Yaman).

Kemewahan Mus'ab bukan cerita dongeng. Ia diakui sendiri oleh Rasulullah SAW. Baginda pernah melihat Mus'ab ketika di Makkah dan memujinya.

Sabda Rasulullah SAW:

"Aku tidak pernah melihat di Mekah seorang lelaki yang lebih baik akhlaknya, mahupun yang lebih makmur, daripada Mus'ab ibn 'Umair." 

Hidupnya sempurna di mata manusia. Namun, takdir Allah menetapkan bahawa pemuda paling mewah inilah yang bakal menjadi perwira paling zuhud.

Hidayah menyapa hatinya di rumah Arqam bin Abi Arqam. Sebaik sahaja beliau melafazkan syahadah, beliau tahu beliau sedang menempah tiket kesusahan.


Sumpah Seorang Ibu & 100 Nyawa

Ujian paling berat bagi Mus'ab bukan diseksa orang luar, tetapi diseksa ibu sendiri.

Apabila ibunya mengetahui Mus'ab memeluk Islam, dia menggunakan senjata psikologi. Ibunya enggan makan, enggan minum, dan berjemur di bawah panas terik matahari sehingga hampir mati. Tujuannya supaya Mus'ab rasa bersalah.

Namun, iman Mus'ab seteguh gunung. Dalam satu dialog yang sangat masyhur yang direkodkan oleh ahli sejarah Islam (Ibn Sa'd), Mus'ab memberikan jawapan yang memuktamadkan pendiriannya.

Kata Mus'ab kepada ibunya:

"Wahai ibu, ketahuilah, seandainya ibu mempunyai seratus nyawa, lalu nyawa itu keluar satu demi satu (kerana seksaan ini), nescaya aku tidak akan meninggalkan agama ini (Islam) kerananya. Maka makanlah jika ibu mahu, atau tidak (terpulang)."

Mendengar ketegasan itu, ibunya putus asa lalu menghalaunya keluar sehelai sepinggang. Mus'ab, anak manja yang dahulunya memakai sutera, kini berjalan dengan pakaian lusuh yang kasar, meninggalkan segala kemewahan demi Allah.


Tragedi Uhud: Memeluk Panji Dengan Kudung

Tahun ke-3 Hijrah. Perang Uhud. Rasulullah SAW mengamanahkan panji (bendera) tentera Islam kepada Mus'ab.

Ketika tentera Islam diserang hendap, Mus'ab bertahan melindungi Rasulullah SAW. Seorang tentera musuh bernama Ibn Qami'ah datang dan melibas tangan kanan Mus'ab sehingga putus.

Mus'ab tidak menjerit. Dia segera menyambut bendera dengan tangan kiri sambil membaca ayat Quran:

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul..."

Musuh melibas pula tangan kirinya. Putus. Kini tanpa kedua-dua tangan, Mus'ab memeluk bendera itu ke dadanya dengan sisa lengan. Akhirnya, tombak musuh menembusi dadanya dan beliau gugur syahid.


Kafan Yang Tidak Cukup

Selepas perang, Rasulullah SAW dan para sahabat memeriksa jenazah syuhada. Pemandangan di hadapan jasad Mus'ab sangat menyayat hati.

Sahabat nabi, Khabbab bin Al-Arat, menceritakan detik pilu ini dalam hadis sahih. Beliau menceritakan bagaimana seorang "bekas jutawan" mati dalam keadaan serba kekurangan.

Kata Khabbab r.a.:

"Kami berhijrah bersama Nabi SAW... Antara kami ada yang mati dan tidak sempat memakan (menikmati) hasil ganjarannya sedikitpun, antaranya Mus'ab bin Umair. Dia dibunuh pada hari Uhud, dan tidak ada kain kafan untuknya melainkan sehelai kain burdah (selimut lorek). Jika kami menutup kepalanya, kakinya terkeluar. Dan jika kami menutup kakinya, kepalanya terkeluar." Maka Nabi SAW bersabda: "Tutuplah bahagian kepalanya, dan letakkanlah rumput idhkhir pada kakinya." (Sumber: Sahih Al-Bukhari, No. 1276)

Rasulullah SAW kemudian berdiri di sisi jasad Mus'ab. Baginda teringat masa lalu Mus'ab di Makkah. Baginda membaca firman Allah (Surah Al-Ahzab: 23):

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah..."

 

Tangisan Abdurrahman bin Auf

Kisah Mus'ab tidak tamat di Uhud. Ia terus menghantui para sahabat yang masih hidup, terutamanya mereka yang dikurniakan kekayaan.

Bertahun-tahun kemudian, Abdurrahman bin Auf r.a. dihidangkan dengan makanan untuk berbuka puasa. Abdurrahman adalah sahabat yang sangat kaya.

Namun, apabila melihat makanan itu, beliau menangis. Beliau teringat kepada Mus'ab.

Kata Abdurrahman bin Auf:

"Mus'ab bin Umair telah dibunuh, dan dia lebih baik daripadaku. Dia dikafankan dengan kain burdah; jika ditutup kepalanya nampak kakinya, jika ditutup kakinya nampak kepalanya... (Sedangkan) kita telah dibentangkan dunia seluas-luasnya untuk kita. Sesungguhnya aku takut jika kebaikan kita telah disegerakan (dibayar tunai) di kehidupan dunia ini." (Sumber: Sahih Al-Bukhari, No. 1275)

Beliau kemudian menangis sehingga tidak jadi makan.


Kesimpulan: Harga Sebuah Pengorbanan

Mus'ab bin Umair mengajar kita bahawa nilai seseorang bukan pada jenama baju yang dipakai, tetapi pada prinsip yang dipegang.

Beliau "membeli" Syurga dengan melepaskan dunia. Kita hari ini, seringkali menggadai Syurga semata-mata untuk mengejar sedikit kesenangan dunia.

Biarlah kita hidup sederhana, asalkan "kain kafan" amal kita cukup untuk menutup aib kita di hadapan Allah nanti.